Apabila dugaan yang hadir dalam
kehidupan bertali arus. Bergenang air mata menahan badai yang bergelora.
Meredah bersendirian.
Terkadang apabila merenung
langit lalu terlihat kibasan kepak burung nan berterbangan, hati terdetik
berkata “alangkah indahnya jika aku seperti engkau, bisa berterbangan bebas di
langit nan luas”
Ujian itu adalah hikmah. Burung
yang dilihat indah berterbangan mungkin masih mencari-cari makanan untuk dibawa
pulang ke sarang. Tidak siapa tahu keruh hati si burung kerana kita tidak punya
pancaindera membaca perasaan burung daripada kibasan kepaknya. Luarannya,
burung itu seperti aman.
Kocak angin terasa berlalu,
sekali sekala menyentak badan terasa sejuk dan nyaman. Hari hujan kadang
dirasakan nikmat, kadang dicemuh kerana hujan mengganggu rancangan
keluar ke lapangan.
Pernah dirasakan hidup ini
seperti kosong. Kosong yang tiada satu atau dua. Kosong. Melalui kehidupan yang
sama saban hari. Tidak dimaknakan.
Burung juga menghadap hari-hari
tanpa makanan, mungkin sarang yang dibina saban hari kini musnah akibat pohon
yang dulu rending kini habis ditebang. Burung juga mengeluh
Hikmah dalam ujian itu
nikmatnya bukan sekadar menelan kesakitan di saat hati mahukan tenang. Ia
terlihat selepas lelah dilepaskan.
Meniti hari-hari kini, terlalu
banyak isi hidup yang kita pelajari. Sungguh indah setiap perancangan Allah.
Merenung hakikat kehidupan dari sisi mulianya diangkat Allah sebagai khalifah.
Kita lihat insan yang Allah uji
dengan kemelaratan hidup.
Air mata kita tidak mungkin
sama dengan mereka. Boleh jadi kita menangis hanya kerana merasakan sunyi dalam
keriuhan manusia. Namun, mereka menangis kerana sunyi dalam kesunyian yang
mutlak.
Cubalah merenung anak mata
mereka, mata yang tersenyum dalam kelelahan membanting tulang demi menyara
anak-anak yang galak membesar. Tidak mampu mendidik mereka dek kerana tulang
yang dibanting hanya cukup mengenyangkan satu keluarga untuk hari itu sahaja.
Jika tidak dibanting lagi keesokannya, pasti perut kosong tidak
diisi.
Apa mungkin kita rasa wang yang
banyak kepunyaan kita tidak mencukupi ? Bukan kerana tidak cukup. Tetapi kerana
tidak dicukupkan.
“ Maka nikmat Tuhan yang
manakah yang kamu dustakan ?” (Ar-Rahman: 13)
Marilah kita bermuhasabah
kembali akhlak kita yang suka berprasangka terhadap Allah.
Sehingga kita gagal melihat
terlalu banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita malah
menyangka Allah tidak pernah memberi kebaikan kepada diri kita !
Syukur ya Allah !
No comments:
Post a Comment