AKU INGIN
BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK
“Adik-adik, siapa yang menggerakkan hati untuk kamu
semua baca tentang artikel-artikel tazkirah, pergi ke web islam, mendengar
nasyid, datang ke usrah dan sebagainya?”
Jawapannya adalah: “Allah S.W.T jua yang menggerakkan
hati-hati kamu semua. Maka jangan disia-siakan segala petunjuk itu,” ujar
seorang kakak pada sesi perkongsian.
Kita mahu menjadi baik tetapi di mana kesungguhan kita
untuk menjadi baik itu?
Istiqamahkah kita pada jalan-jalan kebaikan?
Baik itu bagaimana sebenarnya?
Baik itu adalah apabila kita mula kembali kepada ajaran
agama Allah S.W.T. Jika tidak bertudung, sudah mula mahu bertudung. Jika tidak solat,
sudah mula mahu belajar solat, dan contoh-contoh lain.
Ada orang kata cukuplah aku menunaikan segala rukun yang
ditetapkan.
Jawapan saya, tidak cukup baik.
Kerana anda masih tidak menunaikan hak sesama muslim.
Apa itu hak sesama muslim?
Yakni mencegah kemungkaran dan menyeru ke arah kebaikan.
Jika baik, biarlah baik yang sepenuhnya, bukan baik
separuh, jahat separuh.
Bagaimana pula boleh separuh?
Seperti cerita Robin Hood. Hero itu baik, tolong
orang-orang miskin yang ditindas. Tetapi jahat juga kerana dia mencuri. Tidak
ke lagi bagus si Robin Hood berniaga, kemudian menjadi orang kaya dan menolong
orang miskin. Selain itu boleh menjadi ahli politik, kelar dasar orang kaya
yang suka menindas. Itu lebih elok dari dia pergi mencuri dan merompak.
Jadi, bagaimana anda yang punya potensi untuk menjadi
baik?
Selama ini anda suka melayari web Islam atau blog
seperti iluvislam.com, halaqah.net, saifulislam.com, langitilahi.com dan
sebagainya.
Selama ini anda menonton cerita berunsur Islam seperti
Ketika Cinta Bertasbih, Semanis Kurma, al-Kuliyyah dan sebagainya.
Selama ini anda mendengar nasyid seperti Maher Zain,
Raihan.
Selama ini anda membaca majalah dan novel seperti
Solusi.
Selama ini anda sering menghantar post di facebook
mengenai hadis dan sebagainya.
Bukankah itu adalah potensi?
Dan potensi itu digerakkan oleh Allah S.W.T. Ini
bermakna itu adalah petunjuk untuk anda berubah menjadi baik.
Anda tidak perasankah selama ini?
“Suhana, kamu dengar radio apa tu? Lagu-lagu nasyid kat
situ semua bestlah.” Tanya rakan sekerja saya.
“Oh, radio online. Nasyid.fm, lagu-lagu kat sini memang
semua best. Jarang dapat dengar dekat ikim,” ujar saya.
“Itulah selalu pasang ikim.fm kalau dalam kereta. Tapi
tak ada pula lagu best macam ni.”
Saya terdiam.
Bagusnya, perwatakan rakan sekerja saya ini bolehlah
dikatakan lelaki lembut, suka bersolek. Tetapi dia ada potensi itu.
Potensi untuk menjadi baik.
Maka jangan kita memandang orang itu dengan pandangan
negatif.
Cukup baikkah kita untuk menilai dan menghukum
seseorang?
Anda sentiasa mahu menghukum dan mengkritik, tetapi anda
pernahkah mendoakan orang-orang yang dikritik itu menjadi baik?
Justeru, keluarkan potensi yang ada itu. Jangan biarkan
ia statik tanpa dialirkan. Kita boleh menjadi lebih baik jika membina potensi
baik itu dengan semaksima mungkin.
Jika mahu jadi baik, lakukan dengan kesungguhan. Jangan
takut untuk menjadi baik. Cerahkan pemikiran anda bahawa baik itu disukai Allah
S.W.T, kita suka jika Allah S.W.T suka bukan?
Jangan sia-siakan petunjuk yang Allah S.W.T beri. Takut
nanti Allah S.W.T tidak memberi lagi. Jika berlaku begitu, bukankah kita yang
rugi?
Mari kita sama-sama menjadi baik yang sepenuhnya.
Berubah jadi baik..
Benarlah kata Nabi S.A.W.:-
“Sesiapa yang Allah S.W.T kehendaki kebaikan padanya,
akan diberi kefahaman di dalam Agama.”
- (Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani
Hashim)
No comments:
Post a Comment